Sunnah memencilkan diri

Mengucilkan Diri di Akhir Zaman

Kesunnahan Memencilkan Diri Di Waktu Rusaknya Keadaan Zaman Atau Karena Takut Fitnah Dalam Agama Dan Jatuh Dalam Keharaman, Kesyubhatan-kesyubhatan Atau Lain-lain Sebagainya

Allah Ta'ala berfirman:

"Maka oleh kerana itu, segeralah berlari kepada Allah, sesungguhnya saya adalah pemberi peringatan yang terang - dari Allah padamu." (adz-Dzariyat: 50)

 

595. Dari Sa'ad bin Abu Waqqash r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah itu cinta kepada hamba yang bertaqwa serta kaya dan tersembunyi - yakni tidak sebagai orang masyhur dan tidak dikenal orang kerana tidak mempunyai kedudukan." (Riwayat  Muslim)

Yang dimaksud dengan kata alghani yakni kaya itu ialah kaya jiwanya-jadi bukan kaya harta benda, sebagaimana dijelaskan dalam Hadis shahih di muka - lihat Hadis no. 520.

 

596. Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Ada seorang lelaki berkata: "Manakah orang yang paling utama itu, ya Rasulullah?" Beliau s.a.w. bersabda: "Iaitu seorang mu'min yang berjihad dengan badannya dan hartanya fi-sabilillah." Kemudian orang itu bertanya lagi: "Selanjutnya siapakah?" Beliau s.a.w. bersabda: "Kemudian seorang yang memencilkan dirinya dalam suatu jalanan di gunung - maksudnya suatu tempat di antara dua gunung yang dapat digunakan sebagai kediaman - dari beberapa tempat di gunung, untuk menyembah kepada Tuhannya."

Dalam riwayat lain disebutkan: "Kerana ia bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan para manusia dari keburukannya diri sendiri" - jadi mengasingkan diri dari orang banyak, sehingga tidak akan sampailah keburukannya diri sendiri itu kepada orang-orang banyak tadi. (Muttafaq 'alaih)

 

597. Dari Abu Said al-Khudri r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Hampir saja bahawasanya sebaik-baik harta seseorang Muslim itu ialah kambing yang diikutinya sampai ke puncak gunung serta tempat-tempat hujan - iaitu tempat-tempat yang banyak rumputnya. Orang itu lari ke sana dengan membawa agamanya kerana takut adanya beberapa macam fitnah." (Riwayat Bukhari)

 

598. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Tidak seorang yang diutus oleh Allah sebagai Nabi, melainkan ia tentu pernah menggembala kambing." Para sahabat beliau s.a.w. bertanya: "Dan tuan sendiri - apakah juga menggembala kambing?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ya, saya pun menggembala kambing itu, iaitu di Qararith. Kambing itu kepunyaan penduduk Makkah." Qararith itu ada yang mengatakan bahawa ia adalah nama tempat penggembalaan di Makkah, tetapi ada yang mengatakan bahawa itu adalah nama bahagian dari wang dinar atau dirham, yakni bahawa beliau s.a.w. menggembala itu dengan menerima upah qararith. (Riwayat Bukhari)

 

599. Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Rasulullah s.a.w. bahawasanya ia bersabda:

"Setengah daripada sebaik-baik keadaan kehidupan para manusia ialah seseorang yang memegang kendali kudanya untuk melakukan peperangan fi-sabilillah, ia terbang di atas punggungnya. Setiap kali ia mendengar suara gemuruh atau suara dahsyat di medan peperangan itu ia segera terbang ke sana untuk mencari supaya terbunuh atau kematian yang disangkanya bahawa di tempat suara gemuruh   itulah   tempatnya.   Atau   seseorang  yang   memelihara kambing di puncak gunung dari beberapa puncak gunung yang ada, atau pun di suatu lembah dari beberapa lembah ini. Ia mendirikan shalat dan menunaikan zakat serta menyembah Tuhannya sehingga ia didatangi oleh keyakinan - yakni kematian. Tidak ada dari para manusia itu kecuali dalam kebaikan." (Riwayat Muslim)